Saturday, December 24, 2022

A Promise to Myself

 

Setiap orang semestinya mempunyai impian dan cita-cita dalam kehidupan untuk digapai. Sewaktu kecil, cita-cita saya ingin menjadi seorang akauntan. Tetapi malangnya, cita-cita saya tidak direstui oleh ibu bapa saya. Melihat pengorbanan ibu bapa saya dalam membesarkan dan mendidik saya menjadi seorang insan yang berguna di atas muka bumi ini membuatkan saya tidak tergamak untuk menolak permintaan mereka yang menyuruh saya menjadi seorang guru. Maka, saya bertekad dan berusaha sepenuh jiwa dan raga untuk menjadi seorang guru yang berdedikasi dan bertanggungjawab. Saya sedar bahawa restu dan doa ibu bapa saya amatlah penting dan membawa berkat.

Impian yang tersemat dalam diri saya pula ialah saya ingin menjadi seorang insan yang berbakti kepada kedua ibu bapa saya, berbakti kepada bangsa dan negara. Saya ingin membalas jasa kedua ibu bapa saya sedaya upaya walaupun saya tahu pengorbanan mereka kepada saya amat besar dan tidak ternilai. Saya juga ingin melakar satu sejarah yang dapat dikenang oleh rakyat Malaysia. Sebagai seorang pelajar jurusan bahasa melayu, saya mahu mengembangkan bahasa ibunda kita ke persada dunia agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas dan mundur disebabkan oleh peredaran massa dan zaman. Saya juga akan memperjuangkan bahasa melayu yang merupakan bahasa kebangsaan sepertimana telah termaktub dalam perlembagaan negara kita. Tidak lupa juga, saya seorang hamba yang tidak lari melakukan kesilapan dan dosa kepada sahabat, kaum kerabat dan kepada sang pencipta. Oleh itu, impian saya ingin menjadi seorang hamba yang selalu memperbanyakkan ilmu agama, menjadi seorang yang kuat imannya, akidah dan melakukan ibadah ke jalan yang benar.

 Ketika seusia setahun jagung, impian saya hanyalah ingin menjadi seorang jutawan yang kaya raya. Semakin hari semakin meningkat usia, semakin luas pengalaman, semakin banyak menilai membuatkan impian tersebut semakin utuh dan tidak pudar dalam diri saya sehingga kini. Ekonomi yang semakin meleset disebabkan propaganda yang dimainkan oleh pihak atasan yang tamak dan egois menyebabkan golongan lemah dan miskin hidup merana. Apabila saya menjadi jutawan, saya ingin menghulurkan bantuan sebanyak yang mungkin kepada golongan yang memerlukan, jika diizinkan Allah.  

Oleh itu, saya berjanji dan bertekad kepada diri saya apabila saya berjaya menjadi seorang guru, saya akan menjalankan tanggungjawab saya dengan sedaya upaya. Guru ibarat ibu kedua kepada pelajar. Tempat mengadu, tempat meminta pertolongan dan memberi nasihat dan tunjuk ajar. Saya juga berjanji kepada diri saya supaya tidak mudah mengalah dan berputus asa apabila menghadapi ujian dan cabaran. Saya berjanji akan sentiasa berbakti kepada kedua ibu bapa saya walau apa pun berlaku dan saya berjanji akan berusaha untuk menjadi solehah. Dengan izin Allah.

 

 

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment

A Promise to Myself

  Setiap orang semestinya mempunyai impian dan cita-cita dalam kehidupan untuk digapai. Sewaktu kecil, cita-cita saya ingin menjadi seoran...